Monday 25 October 2010

Program REALITI TV vs Program FANTASI TV…???

Dalam konteks sejarah perkembangan industri seni di Malaysia,kita dapat melihat bagaimana ianya meningkat dan mengalami perubahan dari sehari ke sehari. Secara jelasnya kita dapat melihat perkembangan industri terutama sekali dalam bidang seni muzik dan seni lakon. Akibatnya daripada perkembangan ini, maka tercetuslah pelbagai program-program berbentuk realiti untuk mencungkil bakat seni yang ada pada seseorang.

Namun, apa yang membimbangkan kita adalah rancangan-rancangan berbentuk realiti TV ini adalah hasil cedokan daripada Barat sedangkan kita tahu bahawa kebanyakan ajaran yang datang dari mereka lebih banyak memberikan pengaruh yang negatif daripada yang positif. Sebagai contoh kita melihat di mana Malaysian Idol yang meniru American Idol. Selain itu, terdapat juga Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million, Gangstars dan sebagainya yang menjadi kegilaan masyarakat di Malaysia. Sebagai seorang manusia yang fitrahnya sememangnya menyukai hiburan terutama sekali berkaitan bunyi-bunyian atau muzik, sudah pastinya kita mudah tertarik dengan program-program sebegini terutama sekali remaja yang mudah mengikut naluri di mana pada peringkat umur inilah mereka mempunyai keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru.

Timbulnya persoalan di mana benarkan program ini boleh menukarkan sesuatu yang FANTASI menjadi REALITI? Mungkin bagi mereka yang benar-benar yang mempunyai bakat dalam seni suara mampu merealisasikan FANTASI tersebut. Tapi bagaimana pula mereka yang hanya berangan-angan tapi tidak mempunyai bakat? FANTASI akan terus kekal sebagai FANTASI. Yang peliknya, ada yang tidak mahu menerima hakikat sekiranya tidak berjaya lulus semasa sesi uji bakat.

Itu kerenah bagi mereka yang tidak lulus. Bagi mereka yang lulus pula, tak kurang bermacam ragam yang ada. Demi merealisasikan fantasi mereka untuk bergelar artis atau penggiat seni, mereka sanggup menolak ke tepi tawaran pengajian, daripada mereka yang menutup kepala menjadi seorang freehair, insan yang pada mulanya seorang pemalu digilap menjadi seorang sosial (secara) melampau.

Inilah sebenarnya REALITI masyarakat Islam Malaysia. FANTASI yang ada di dalam pemikiran mereka hanyalah untuk mengejar dunia semata-mata tanpa sedikitpun memikirkan kepada FANTASI akhirat kelak yang pastinya menjadi REALITI. Renung-renungkan…!!!

Sunday 24 October 2010

Akidah vs Akhlak : Sensitif ke Orang Melayu ni…???

Masyarakat Islam atau lebih disinonimkan dengan bangsa Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini di mana ianya adalah bangsa yang paling popular dan hebat di antara kaum-kaum yang lain seperti kaum Cina dan India. Namun, sedarkah kita bahawa “populariti” dan “kehebatan” bangsa Melayu yang terserlah ini seringkali dibina atau dipertingkatkan dengan isu-isu yang melibatkan perpecahan parti politik, kes-kes jenayah dan sebagainya.

Jika melihat statistik kadar jenayah yang berlaku di Malaysia, secara terangnya bangsa Melayu menunjukkan peratusan yang amat tinggi berbanding kaum lain. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa masyarakat Islam tidak peka terhadap permasalahan ini. Adakah ini bermaksud bahawa isu jenayah yang dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam tidak langsung dirasakan SENSITIF oleh kita?

Bagaimana pula jika sekiranya timbul pernyataan bahawa orang Melayu tidak berAKHLAK? Adakah pernyataan ini masih belum dapat mengusik sensitiviti masyarakat kita? Sedangkan kita tahu bahawa mereka yang melakukan jenayah itu mereka yang tidak berakhlak. Oleh itu, benarlah sekiranya bangsa lain mengatakan bahawa bangsa Melayu Islam tidak berakhlak, sebab itu orang Melayu banyak masuk penjara kerana berbuat jenayah.

Tapi apa yang kita boleh respect dengan bangsa Melayu kita apabila menyentuh isu akidah atau agama, maka secara automatic ianya menjadi sensitif. Kita tahu bahawa agama Islam mengajar kita erti berkelakuan dengan akhlak yang mahmudah (baik). Dengan mengamalkan nilai dan akhlak Islam, seseorang itu dapat memperlihatkan kepada mereka lain-lain bagaimana teguhnya keimanan dan akidah Islam yang dipegang olehnya.

Pernah kita mendengar tentang pernyataan “pegangan (pengamalan) seseorang terhadap AKHLAK mencerminkan kemantapan AKIDAH yang dianuti”?

TAK berAKHLAK maksudnya tak berAKIDAH.

Sampai tahap inikah bangsa Melayu masih tidak sedar….Renung-renungkan wahai sahabat….

Wednesday 1 September 2010

Tidak Diberi Yang Dipinta, Tapi Diberi Yang Tidak Dipinta ….?????

Sebagai umat Islam, kita sering kali dianjurkan supaya sentiasa berdoa dan meminta-minta kepada Allah s.w.t. Kita boleh meminta apa sahaja bentuk permintaan kepada Allah selagi ianya tidak menyalahi garis panduan Islam dan juga akal fikiran (logikal). Namun, pernahkan kita terfikir tentang persoalan di atas? Adakah kita pernah mengalami keadaan di mana anda tidak memperolehi sesuatu yang dihajati, sebaliknya hanya memperolehi sesuatu yang tidak diingin. Sekiranya kita pernah mengalami situasi ini, adakah kita redha sahaja dengan apa yang kita perolehi walaupun ianya bukanlah apa yang kita inginkan atau kita mempunyai perasaan ingin memberontak? Adakah ini bermakna kita menyalahkan Yang Maha Esa kerana tidak menunaikan permintaan kita?

Mari kita sama-sama mengikuti kisah yang ringkas tapi penuh pengajaran yang kita boleh perolehi...

Seorang lelaki telah berdoa kepada Allah s.w.t….

-Agar diberikan kepadanya sekumtum BUNGA dan seekor RAMA-RAMA….

-Namun, Allah memberikannya KAKTUS dan seekor ULAT…

-Lelaki ini berasa sedih, tidak faham mengapa pemberian yang Dia berikan berbeza dengan apa yang dipinta….

-Kemudian dia berfikir, Allah mempunyai ramai umat yang perlu diuruskan..

-Dan dia memutuskan untuk tidak mempersoalkannya…..

-Selepas suatu tempoh, lelaki tersebut memikirkan semula permohonan doa yang telah lama dilupakannya…

-Lelaki itu amat terperanjat apabila melihat sekuntum BUNGA yang cantik telah tumbuh daripada KAKTUS yang berduri dan hodoh itu…

-Dan ulat yang terselindung itu bertukar menjadi RAMA-RAMA yang cantik…

Apa yang kita boleh lihat daripada kisah di atas ialah:-

-Allah s.w.t sentiasa melakukan perkara dengan betul…

-Cara Allah sentiasa yang terbaik, walaupun kelihatan semuanya salah…

-Jika kita memohon sesuatu tapi menerima yang lain daripada Allah, PERCAYALAH….

Pasti Allah sentiasa mengurniakan kepada kita apa yang dipinta pada masa yang sesuai…

-Apa yang kita pinta, tidak semestinya apa yang kita perlukan….

-Allah tidak akan gagal memenuhi permintaan…

-Teruskan berdoa tanpa ragu dan mengeluh….

DURI hari ini adalah BUNGA hari esok….!!!!

ALLAH Mengurniakan Pilihan Terbaik Kepada Mereka Yang Menyerahkan Ketentuan Kepada-Nya…..

Sunday 22 August 2010

Jujur vs Hipokrit : Yang Mana Satukah Diri Kita?

Jujur dan hipokrit secara jelasnya merupakan dua sifat yang amat bertentangan antara satu sama lain. Persoalan yang dibangkitkan di sini, sifat manakah yang menjadi cermin diri kita? Adakah kita seorang yang jujur atau adakah kita seorang yang hipokrit? Atau mungkinkah kedua-dua sifat ada pada diri kita. Bolehkah kedua-dua sifat yang bertentangan ini wujud serentak dalam diri kita?

Sudah semesti kedua-dua sifat yang bertentengan ini boleh wujud serentak. Agak-agaknya bagaimana? Pasti ada di antara kita tertanya-tanya. Mungkin dalam pemikiran sebahagian daripada kita sudah mula meneka dan tidak kurang juga memberikan persepsi sendiri terhadap persoalan ini. Apakah pandangan kita terhadap pernyataan ini?

Betapa jujurnya kita ketika berhadapan dengan Allah dan betapa hipokritnya kita ketika berhadapan dengan manusia

Sebahagian daripada kita ada yang yang berpendapat bahawa ianya suatu pernyataan yang baik dan bagus, bila berhadapan dengan Allah mestilah kita perlu jujur, tidak mengapa sekiranya kita hipokrit dengan sesama manusia. Allah yang judge kejujuran kita, bukannya manusia. Tapi apa perlunya kejujuran sekiranya ianya tidak mencerminkan sesuatu yang baik, dan apa guna perlakuan hipokrit yang tiada unsur keihklasan. Melakukan kebaikan semata-mata kerana manusia tapi tidak kerana Allah?

Jujur di depan Allah membawa maksud kita tahu Allah melihat dan mengetahui semua perbuatan sama ada yang yang ingin disembunyikan atau diperlihatkan ketika berada bersama orang lain. Sanggupkah kita memperlihatkan “kejujuran” kita di hadapan Allah sekiranya ianya bukanlah sesuatu yang baik dalam pandangan Islam?

Kenapa hipokrit boleh terbentuk dalam diri kita. Mungkinkah kerana kita berasa bimbang orang lain mengetahui diri kita yang sebenar? Adakah diri kita yang sebenar tidak baik? Malu dengan manusia jadi perlu hipokrit, tapi tidak malu dengan Allah jadi boleh jujur? Kalau diri kita yang tidak baik ini malu hendak ditunjukkan depan manusia, mengapa kita tidak berusaha berhijrah kepada yang lebih baik supaya kita boleh jujur di hadapan Allah dan juga manusia tanpa perlu hipokrit.

Oleh itu, berubahlah kerana kita sentiasa berhadapan dengan Allah dan jangan sesekali berubah ketika di hadapan orang, kerana perubahan yang dilakukan di hadapan orang hanya satu tindakan hipokrit dan bukan satu kejujuran yang ikhlas.

Ingatlah Allah sentiasa memerhati setiap pelakuan kita sama ada yang dilakukan secara jujur atau hipokrit. Janganlah sesekali kita lupa bahawa Allah Maha Melihat, kerana apabila kita lupa, maka itulah salah satu sebab kita cenderung melakukan kesalahan akibat daripada anggap bahawa tiada yang memerhatikan. Allah berfirman dalam Surah al-Hasyr, 59 : 19:-

Maksudnya : "Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. mereka Itulah orang-orang yang fasik".

Saturday 21 August 2010

Sesi Kaunseling Percuma



Sebagai seorang manusia biasa, kita sudah pastinya akan menempuhi pelbagai masalah walau dalam apa jua bentuk dan keadaan. Kita tidak akan lari daripada merasakan bebenan masalah tersebut dan kadang kala ianya membawa kepada tekanan. Dalam keadaan tekanan ini, ada yang sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit bagi mendapatkan khidmat nasihat daripada seorang kaunselor.



Dalam Islam, kita sering kali dianjurkan supaya membaca al-Quran, berzikir, berselawat dan sebagainya untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan menghilangkan tekanan. Namun sikap umat Islam zaman sekarang hanya memandang anjuran tersebut sebagai salah satu amalan keagamaan semata-mata. Ini di sini dengan jelas memperlihatkan bahawa kurangnya penghayatan terhadap isi kandungan yang terdapat dalam Kalam Allah tersebut yang mana sekiranya dikaji atau dihayati dengan sebaiknya, semua jawapan kepada persoalan yang membenani kita sudah tercatat di dalamnya.



Perhatikan persoalan yang sering bermain di fikiran kita apabila kita menghadapi masalah dan bagaimana Allah telah menjawab dalam al-Quran:



· Kenapa aku diuji?


-Surah Al-Ankabut ayat 2-3:

‘Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:"Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.’



· Kenapa aku tidak mendapatkan apa yang aku idam-idamkan?


-Surah Al-Baqarah ayat 216:

‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.’



· Kenapa ujian seberat ini?


-Surah Al-Baqarah ayat 286:

‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.’



· Rasa frust ?


-Surah Al-Imran ayat 139:

‘Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang- orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.’



· Bagaimana aku harus menghadapinya?

-Surah Al-Imran ayat 200:

‘Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.’

-Surah Al-Baqarah ayat 45:

‘Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'.’



· Apa yang aku dapat dari semua ini?

-Surah At-Taubah ayat 111:
‘Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang- orang mu'min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.’


· Kepada siapa aku berharap?


-Surah At-Taubah ayat 129:

‘Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Ilah selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal.’



· Aku tak dapat bertahan lagi!!!!!


-Surah Yusuf ayat 87;

‘Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.’


-Surah An-Nisaa' ayat 86:

‘Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu.’

-Pesan Hasan Al-Banna: "Sesungguhnya amanah yang ada itu lebih banyak dari waktu yang tersedia, untuk itu bantulah saudaramu dalam menyelesaikannya serta sederhanakanlah apa yang bisa disederhanakan"



***Saat tak seorangpun faham perasaanmu, berlarilah pada-Nya.



“In Every Good Need Allah Will Help.”



Dakwah non-muslim keluarga sendiri


Ibuku seorang yang berketurunan cina dan merupakan anak angkat kepada pasangan suami isteri berbangsa Melayu. Aku dapat tahu bahawa nenek angkat yang menyambut kelahiran ibuku. Disebabkan kecewa dengan kelahiran ibuku, maka nenek cina yang mengharapkan bayi lelaki pada ketika itu terus menyerahkan ibuku kepada nenek angkatku. Jadi, ibuku bukanlah muallaf tapi telah dibesarkan dalam keluarga Islam itu sendiri.

Ibuku mendapat tahu bahawa dirinya anak angkat yang berketurunan cina pada usia 12 tahun. Pada ketika itu, tiada usaha daripada ibuku untuk mencari keluarga kandungnya. Namun ayahku yang mengetahui asal usul ibuku telah memulakan usaha untuk mencari mereka setelah beberapa bulan mereka berkahwin dan akhirnya berjaya menjejek mereka.

Semenjak itu, apabila kali pulang ke kampung terutama sekali sewaktu menyambut Hari Raya, kami sekelurga tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjungi keluarga cina. Mereka sentiasa menyambut baik kedatangan kami. Walau bagaimanapun, terdapat masalah komunikasi antara ibuku dengan nenek dan datukku kerana mereka tidak pandai berbahasa Melayu. Mereka hanya dapat berkomunikasi apabila Aunty Yalee (adik bongsu ibu) ada di rumah kerana hanya dia yang boleh berbahasa Melayu.

Kadang kala mereka bertanya soalan tentang Islam. Ibu ayahku tidak lepaskan peluang untuk menjawab persoalan tersebut. Soalan yang ditanya (s) dan jawapan yang diberikan (j) lebih kurang seperti berikut:


- (s): Kamu marahkan kami ke serahkan kamu pada orang lain?

(j): Tak la, sudah ditakdirkan saya membesar dalam keluarga Islam, alhamdulillah saya banyak belajar dan saya rasa bertuah. Islam ajar umatnya kena terima takdir.


-(s): Kenapa kena pakai ini (tudung)?

(j): Islam suruh tutup kepala takut rambut rosak kena cahaya matahari.

-(s): Boleh ke datang melawat kami, kita kan lain agama?

(j): Islam ajar walaupun lain agama, hubungan anak dengan ibu bapa tak putus, kena hormat dan sayang mereka.


Selain itu juga, ibu ayahku juga menolak pelawaan mereka dengan cara yang lembut supaya mereka tidak terasa hati. Sebagai contoh menolak pelawaan untuk makan di rumah mereka dengan alasan berpuasa. Ayahku pula pernah menolak huluran tangan Aunty Yalee untuk berjabat dengan alasan masih mempunyai air sembahyang (wuduk) sekali gus menerangkan serba sedikit tentang kewajipan wuduk sebelum sembahyang. Sekarang mereka mula memahami tentang adab Islam dan mereka menghormati adab tersebut apabila kami bertandang ke rumah mereka. Tiada lagi jemputan makan dan berjabat tangan antara berlainan jantina.


Kami sekeluarga sentiasa berdoa supaya pada suatu hari akan dibuka pintu hidayah kepada mereka agar mereka kembali kepada-Nya dengan keimanan dan bukannya kekufuran..AMIN..



Friday 20 August 2010

Alhamdulillah....(^_^;)

ALHAMDULILLAH...akhirnya terbina juga blogku...hasil daripada tunjuk ajar kawan2 yang lain...walaupun blog ini bertujuan untuk memenuhi keperluan subjek Teknologi Maklumat Dakwah, ku berharap ia dapat memberikan manfaat kepada ku dan mereka yang lain....diharapkan juga agar kita dapat berkongsi ilmu sedikit sebanyak terutama sekali perkara2 berkaitan Islam dan dakwah...INSYAALLAH...(>_<:)