Sunday 22 August 2010

Jujur vs Hipokrit : Yang Mana Satukah Diri Kita?

Jujur dan hipokrit secara jelasnya merupakan dua sifat yang amat bertentangan antara satu sama lain. Persoalan yang dibangkitkan di sini, sifat manakah yang menjadi cermin diri kita? Adakah kita seorang yang jujur atau adakah kita seorang yang hipokrit? Atau mungkinkah kedua-dua sifat ada pada diri kita. Bolehkah kedua-dua sifat yang bertentangan ini wujud serentak dalam diri kita?

Sudah semesti kedua-dua sifat yang bertentengan ini boleh wujud serentak. Agak-agaknya bagaimana? Pasti ada di antara kita tertanya-tanya. Mungkin dalam pemikiran sebahagian daripada kita sudah mula meneka dan tidak kurang juga memberikan persepsi sendiri terhadap persoalan ini. Apakah pandangan kita terhadap pernyataan ini?

Betapa jujurnya kita ketika berhadapan dengan Allah dan betapa hipokritnya kita ketika berhadapan dengan manusia

Sebahagian daripada kita ada yang yang berpendapat bahawa ianya suatu pernyataan yang baik dan bagus, bila berhadapan dengan Allah mestilah kita perlu jujur, tidak mengapa sekiranya kita hipokrit dengan sesama manusia. Allah yang judge kejujuran kita, bukannya manusia. Tapi apa perlunya kejujuran sekiranya ianya tidak mencerminkan sesuatu yang baik, dan apa guna perlakuan hipokrit yang tiada unsur keihklasan. Melakukan kebaikan semata-mata kerana manusia tapi tidak kerana Allah?

Jujur di depan Allah membawa maksud kita tahu Allah melihat dan mengetahui semua perbuatan sama ada yang yang ingin disembunyikan atau diperlihatkan ketika berada bersama orang lain. Sanggupkah kita memperlihatkan “kejujuran” kita di hadapan Allah sekiranya ianya bukanlah sesuatu yang baik dalam pandangan Islam?

Kenapa hipokrit boleh terbentuk dalam diri kita. Mungkinkah kerana kita berasa bimbang orang lain mengetahui diri kita yang sebenar? Adakah diri kita yang sebenar tidak baik? Malu dengan manusia jadi perlu hipokrit, tapi tidak malu dengan Allah jadi boleh jujur? Kalau diri kita yang tidak baik ini malu hendak ditunjukkan depan manusia, mengapa kita tidak berusaha berhijrah kepada yang lebih baik supaya kita boleh jujur di hadapan Allah dan juga manusia tanpa perlu hipokrit.

Oleh itu, berubahlah kerana kita sentiasa berhadapan dengan Allah dan jangan sesekali berubah ketika di hadapan orang, kerana perubahan yang dilakukan di hadapan orang hanya satu tindakan hipokrit dan bukan satu kejujuran yang ikhlas.

Ingatlah Allah sentiasa memerhati setiap pelakuan kita sama ada yang dilakukan secara jujur atau hipokrit. Janganlah sesekali kita lupa bahawa Allah Maha Melihat, kerana apabila kita lupa, maka itulah salah satu sebab kita cenderung melakukan kesalahan akibat daripada anggap bahawa tiada yang memerhatikan. Allah berfirman dalam Surah al-Hasyr, 59 : 19:-

Maksudnya : "Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. mereka Itulah orang-orang yang fasik".

No comments:

Post a Comment